Friday, July 21, 2017

Cerpen Pilihan Mingguan : JANJI LEBARAN

JANJI LEBARAN
Oleh Padin Majid

Sumber gambar : Google

SEJAK bermulanya Ramadan, aku sudah dapat menangkap perubahan pada diri ayah. Sinar keceriaan pada  wajahnya tidak lagi menyuluh seperti selalu. Becok mulutnya juga terhenti, seolah-olah merajuk. Pastinya pangkin kayu di bawah pokok manggis, merindui panas punggung ayah. Begitu juga Pak Saad askar pencen, Tok Dan Telinga Capang, dan Said Misai Melintang. Mereka sudah kehilangan seorang rakan untuk berbual. Jika tidak, dalam seminggu, pasti dua tiga kali empat sekawan ini akan melepak bersama-sama.  Bercerita sakan. Selagi tidak berbunyi azan Maghrib, selagi itulah mereka tidak akan berganjak.
        Jangan kata aku tidak risau. Teramat susah hati sebenarnya. Namun, aku sudah masak benar akan perangai ayah. Sudah 18 tahun kami bersama-sama. Susah sungguh untuk aku mendengar ayah mengadu. Jauh sekali merungut. Tanyalah. Paksalah. Mulut ayah terkunci. Rapat. Suara ayah menyepi. Hanya emak tempat ayah mencurahkan segala masalah. Emak menjadi pendengar setia. Emak tak pernah merasa jemu apalagi benci. Kerana bagi emak, masalah ayah adalah masalahnya juga. Mereka akan berusaha bersama-sama dalam mencari penyelesaiannya.
          Emak? Ooo, emak tidak ada. Opps, bukan meninggal dunia. Bukan juga bercerai. Emak tinggal dengan keluarga Kak Dila di bandar Kulim. Tidak jauh. 10 kilometer sahaja dari rumah kami di Kampung Padang Penyangga ini. Sebenarnya, Kak Dila lumpuh sebelah kiri badan. Dia terjatuh di bilik air semasa mengandungkan anak kedua. Anaknya tidak dapat diselamatkan. Disebabkan itulah, emak beria-ia mahu menjaga Kak Dila. Dari sehari membawa ke seminggu dan kini sudah hampir 4 bulan ayah ditinggalkan bersama aku. Anak pertama Kak Dila, baharu berusia dua tahun setengah. Zulfa Imani namanya.
           Aku berteka-teki sendiri. Cuba menjadi Nujum Pak Belalang. Rasanya, aku tahu kenapa ayah jadi begitu. Tidak lain dan tidak bukan,  mesti ayah rindukan emak. Teringin makan masakan emak yang enak. Gulai keli bersama timun, goreng kunyit tilapia, sambal belacan berulamkan pucuk ulam raja dan pucuk janggus.  Itulah makanan kegemaran ayah.
           Tentu ayah juga sudah terlalu rindu untuk solat bersama-sama emak. Ke kebun getah berdua. Apatah lagi, di bulan mulia ini. Ramadan Al Mubarak. Tahun lepas, emak akan membonceng motosikal Ex5 ( hadiah daripada Kak Dila untuk ayah pada hari lahirnya yang ke 50 tahun), menuju ke Masjid An Nur di Pekan Junjong. Bertarawih.  Mesra benar. Bagai sepasang kekasih. Walaupun sudah 30 tahun berumahtangga, kasih sayang antara kedua-duanya semakin menyubur.
Pulang dari masjid, sambil makan (mereka hanya makan kurma dan pisang berserta secawan air kosong ketika berbuka puasa), riuh rendah mereka bersembang. Macam-macam hal yang disentuh. Kadang-kadang ketawa. Sesekali deras suara seakan-akan marah. Pernah juga mereka bersedih sehingga menapak air mata ke pipi tua kedua-duanya.
           Tahun ini, emak tiada. Teman bercerita jauh dari mata. Kerana itu ayah berubah perangai. Suka menyendiri. Namun itu hanya telahan aku. Jawapannya ada pada ayah. Aku yakin, ayah akan membuka mulut juga nanti. Sabarlah duhai hati. Sambil menoreh, aku cuba bertanya pada ayah. Namun, ayah terus menarik pisau getah menuruni lurah di batang pokok hingga mengalirkan susu putih ke dalam pot hitam. Bau busuk sekerap sudah sebati di hidungku. Juga bau masam baju aku dan ayah sudah tidak menjejaskan deria bau kami. Suntikan nyamuk dan cengkaman pacat di tubuh tak usah ceritalah. Berbekas dan berdarah merata-rata badan. Alah bisa tegal biasa. Anak kampung tidak takutkan semua itu. Datanglah lipan, ular dan babi hutan. Kami anggap seperti kawan sahaja. Apa yang perlu dilakukan seandainya bertembung, cuma menjauhkan diri. Demi keselamatan.
       “Ayah jangan buat Aiman macam ni. Aiman sedih dan risau tengok ayah begini.” Entah daripada mana datangnya keberanianku? Pedulikan. Jawapan ayah yang sangat aku perlukan sekarang. Hatiku berdoa dalam debaran. Dup dap, dup dap jantungku. Tapi ayah langsung tak memandang wajahku. Mulutnya terkumat-kamit mengunyah nasi berlaukkan udang goreng kunyit. Manalah aku pandai memasak seperti emak. Namun, jika rajin, tak susah pun untuk memasak. Cari sahaja dalam majalah atau google resipinya. Tiru. Pasti menjadi dan sedap. Tak percaya? Cubalah.
       Aku sabar lagi. Menunggu jawapan ayah dengan penuh harapan. Diam juga. Macam malaikat lalu, kata orang-orang tua dahulu. Benarkah? Itu aku tidak pasti. Cuma, perkara ini sudah melekat kuat di minda. Tidak dapat untuk kutanggalkan seperti mudahnya membasuh lumpur yang mengotori baju.
         “Di masjid tadi, waktu nak balik riuh ja ayah bersembang dengan Lebai Ramli, imam masjid tu. Dengan saya ni, anak ayah sendiri. Anak kandung pula tu. Ayah tak mahu bercakap. Sedih saya tau ayah buat macam ni." Mulut kumuncungkan. Sengaja aku berlakon. Kalau bukan sebagai Farid Kamil, sebagai Sharnaz Ahmad pun jadilah. Konon-konon bersedihlah sangat. Namun niat aku baik. Dengan harapan,  simpati ayah datang menerjah jiwanya. Mahulah dia bersembang dengan anak lelaki bongsunya ini.
         Malangnya sehingga selesai makan, jawapan yang aku tunggu-tunggu masih tiada. Ayah berlalu ke bilik air. Berwuduk kemudian menuju ke bilik tidurnya. Kedengaran suara ayah membaca Al-Quran. Jika tahun lepas, ayah ditemani emak, tahun ini ayah hanya bersendirian. Sebab itulah ayah bersedih. Menyepi. Tekaku lagi. Ah, aku perlu bertindak. Sesuatu perlu kulakukan.
     Di pagi lebaran, seperti orang lain, aku bersalam dan meminta ampun dan maaf akan tiap kesalahanku pada ayah. Ayah tersenyum dan memaafkan aku, Tangan kanannya mengelus-ngelus rambutku. Terasa sayu sangat. Kemudian kami berpelukan dan mencium pipi masing-masing. Ah, alangkah bahagianya aku di saat ini. Selesai solat sunat Aidilfitri dan menziarahi kubur, aku meminta keizinan daripada ayah untuk ke rumah Kak Dila. Aku turut mengajak ayah. Namun ayah menolak kerana dia akan bersama-sama ahli jemaah masjid akan pergi beraya ke rumah anak-anak kariah.

Related image
Sumber gambar : Google

Di rumah Kak Dila, melihat sahaja pada keadaannya, hatiku robek. Kasihan Kak Dila. Apa ertinya hari raya, jika hanya terbaring di katil. Walaupun kurung biru tersarung cantik, aku pasti Kak Dila tidak gembira. Abang Aris pula satu hal. Tergamak hadiahkan Kak Dila madu. Madunya pun satu, sampai hati rampas kasih sayang Abang Aris pada Kak Dila. Semuanya mementingkan diri sendiri. Tak peduli perasaan orang lain. Sakit hatiku. Tiba-tiba hilang rasa sedih. Datang rasa geram. Marah.
“ Emak, jom la kita balik. Jom la mak. Ayah dah rindukan emak tu. Ayah dah berubah. Suka menyendiri. Tak mahu jawab soalan Aiman. Tak mahu sembang dengan Aiman. Kawan-kawan ayah pun dah tak datang sembang di pangkin kita tu sebab ayah tak mahu turun rumah.” Mengadu sakan aku. Iyalah, alang-alang dah datang. Dan kata orang, alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan. Aku telah berusaha. Berjaya atau tidak,  hanya Allah Yang Maha Mengetahui.
“ Aiman tak kesian ke  pada Kak Dila? Aiman nampakkan keadaannya macam mana?” Sayu suara emak.  Ada pilu menghuni di wajahnya. Nampak. Memanglah aku nampak. Mataku pun  belum  rabun lagi.
            “ Abang Aris ada, Kak Fasya pun ada. Kalau dah sanggup bermadu, kenalah buat kerja lebih. Uruskan makan pakai Kak Dila. Berak kencing si Zulfa Imani tu. Takkan duduk di sini hanya setakat nak goyang kaki ja. Ni emak duduk di sini, entah-entah jadi hamba abang dan Kak Fasya.” Aku pasti mereka terkejut mendengarnya. Biarlah. Kak Fasya menangis dan berlari ke biliknya. Tahu pun sedih. Pedulikan. Memang patut pun aku bising. Perbuatannya memang melampau. Abang Aris masih di depanku. Matanya terjegil. Ah, aku tak takut. Anak jantan tak perlu gentar.
“ Beginilah. Emak ikutlah adik balik. Memang betul pun apa yang Aiman kata tadi. Sebab saya takut terjadi beginilah, saya kerap kali minta mak balik. Tapi mak tak mahu. Kali ni, Aris merayu pada mak, ikut  Aiman balik ya mak.” Aik, baik pula abang iparku pagi ini. Entah-entah seperti aku tadi juga. Berlakon. Namun, aku tetap tersenyum. Sangat lebar. Kemenangan sudah menjadi milikku. Ya, aku berjaya. Alhamdulillah.
         “Sebenarnya begini Aris, Aiman. Ayah dah beritahu pada emak semasa dia datang berbuka puasa di sini minggu lepas.  Emak dah tahu ceritanya kenapa ayah berubah perangai tu.” Eh, emak dah tahu? Ish, lakonan apakah ini?
“Sehari sebelum kita menyambut Ramadan, Said Misai Melintang, Tok Dan Telinga Capang, dan Pak Saad askar pencen datang bersembang di rumah kita. Datang berhajat, sebenarnya. Bukan sembang biasa-biasa. Mereka sampaikan berita kepada ayah.” Berita? Kenapa ayah tak beritahu padaku? Berita apa pulak? Ayah... ayah. Sampai hati buat aku seperti tunggul kayu mati.
        “Ayah sungguh malu,” sambung emak lagi. Aku dihujani debaran. Kak Dila nampak terkejut. Matanya terbuka luas. Abang Aris terpinga-pinga. Kak Fasya, entah bila datang semula, sudah tercongok di  tepi katil.
           “Berita apa mak? Pasal Aris kahwin di Siam ke mak? Tapi, 'kan ayah dah tahu hal tu? Aris dah bagi tahu awal-awal lagi pada ayah, pada emak. Aiman pun ada masa tu. Kami kahwin pun atas persetujuan Dila. Malah Dila yang galakkan saya berkahwin lain dengan syarat saya berlaku adil. Dan saya rasa, mak pun tahu bagaimana bahagianya hidup kami berempat. Kan mak?”
“ Ya Aris, mak tahu. Malah  mak bersyukur mendapat menantu kedua seperti Fasya. Dialah yang melakukan semua kerja rumah ni termasuk menjaga Dila dan Zulfa Imani si kecil tu. Tapi ini bukan tentang Aris…”
“Habis tu?” Serentak soalan itu keluar dari mulut aku dan Abang Aris.
            "Pasal Aiman.”
“Eh, pasal Aiman?” Aku mula cuak.
“Ya, ayah dan emak tak sangka. Sama sekali tak menyangka. Aiman sanggup buat macam tu.” Emak mula sebak. Suaranya tersekat-sekat. Tiba-tiba sahaja aku diserang rasa takut. Naluri kejantananku seolah-olah menghilang.
            Satu persatu wayang ingatan terbayang di layar mata.

Image result for hari raya
Sumber gambar : Google

          Abang Aris datang berjumpa ayah. Mereka bersembang di ruang tamu. Emak tiada. Dia ke surau belajar mengaji Al-Quran. Aku pula di luar. Di pangkin bawah pokok manggis. Sedang berehat sambil membaca akhbar. Suara mereka berdua sekejap kuat, sekejap perlahan. Aku pun berjalan dengan penuh berhati-hati ke arah dinding ruang tamu. Mengendap dan memasang telinga. Aku mendengar dengan jelas setiap patah bicara mereka. Aku sedih. Pada waktu itu, aku merasa sangat simpati pada Abang Aris. Aku faham kenapa ayah tak dapat membantu Abang Aris. Siapalah ayah? Hanya penoreh kebun getah pusaka. Pokoknya pula sudah terlalu tua. Susu getah pun sudah enggan mengalir lagi.
Aku tekad. Aku perlu membantu Abang Aris. Walaupun aku pernah terkilan kerana abang Aris berkahwin lagi, tapi dia tetap abang iparku. Kesusahan Abang Aris bermakna kesusahan kak Dila, kakak kandungku. Aku mesti lakukan. Aku perlu bantu mereka.
          Malam itu, dengan hati yang maha berdebar, antara rasa takut, bersalah, dan keinginan yang membuak-buak untuk membantu Abang Aris aku mengotakan rancanganku. Walaupun sukar dan memakan waktu yang agak panjang, aku memaksa juga diri untuk menyelesaikan misiku itu. Sesekali kedengaran suara anjing menyalak memanjang dan sayu dari rumah peniaga-peniaga di situ.  Seram sejuk menyerang seluruh badan. Berdiri bulu romaku. Dugaan perlu aku tempuhi. Misi perlu diselesaikan.
            Untung juga ada youtube. Dapat juga aku pelajari serba sedikit daripadanya. Dan sekarang aku telah berjaya mencapai impianku hasil pelajaran segera di situ. Mudah sungguh  bila maklumat berada di hujung jari.
Aku tunaikan kehendak Abang Aris. Pada mulanya Abang Aris agak terkejut dan enggan menerima pemberianku. Namun setelah aku pujuk dan menerangkan padanya, Abang Aris mengalah dan mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih padaku. Dia memelukku erat. Terasa panas dadaku. Rasa terharu dan sayang akhirnya menumbuhkan pohon sebak dan gugurlah daun-daun  air mata kami berdua.
“Aiman!” Ah, suara emak itu sangat mengejutkan. Aku terpinga-pinga.
         “Ayah dah bertanya pada Lebai Ramli untuk kepastian. Dan ayah ditunjukkan bukti. Yang jelas. Terang. CCTV masjid jadi saksi perbuatan Aiman tu…” Air mata emak sudah tak terbendung lagi. Tangisan emak menginsafkan aku. Aku anak yang tak kenang jasa orang tua. Anak yang tak tahu malu. Tak berguna.
"Mak, ampunkan Aiman. Ayah, ampunkan Aiman. Abang Aris, Kak Dila, Kak Fasya maafkan Aiman. Aiman janji, Aiman akan berubah. Jadi anak berguna. Jadi insan mulia. Maafkan Aiman.” Aku sudah hilang rasa malu. Menangis bagai anak kecil. Kini aku diserang rasa bersalah yang teramat.
“Bertaubatlah nak. Mohon ampun pada Allah. Moga lebaran ini, membuka pintu hati Aiman untuk menjadi hamba-Nya yang takwa. Solatlah nak. Jika Aiman boleh bertarawih, berpuasa di bulan Ramadan. Emak yakin, solat lima waktu pun pasti Aiman boleh.”
        "Dan yang paling penting, wang tabung masjid yang kau curi tu, ayah dah berjanji untuk gantikan balik. Mujurlah mereka tidak membuat laporan polis, ‘nak.”
           Ya Allah. Perasaan malu yang tadi telah hilang, kini kembali. Malu sungguh. Aku berjanji pada semua. Mulai lebaran ini, aku akan berubah. Aku memandang wajah Abang Aris. Bertembung perasaan terkejut dan sedih di situ. Aku amat berharap agar dia tidak mengsyaki apa-apa. Kerana sewaktu aku memberi sejumlah wang padanya dahulu, aku memberitahunya bahawa  wang itu aku  pinjam daripada seorang kawan.


Tamat.


5 comments:

  1. Plot cerita bagus. Unexpected.

    ReplyDelete
  2. @Fadzilah Abd Majid>>>Tahniah...Teruskan menulis

    ReplyDelete
  3. @Nq Okuma>>>Terima kasih kerana sudi membaca. Singgah lagi

    ReplyDelete