Sunday, August 13, 2017

Salam Takziah

Assalamualaikum dan Salam Kreatif.

Kami Geng TSJD ingin mengucapkan salam takziah pada rakan penulis kami iaitu Tunku Zarita (Bonda Tunza) atas pemergian suami beliau pada khamis lepas. Al-Fatihah buat arwah dan semoga rohnya dirahmati dan ditempatkan bersama golongan orang-orang beriman. Pada bonda Tunza, semoga diberi ketabahan dan kuat semangat.

Al-Fatihah.


Salam takziah,
Geng TSJD



Thursday, August 10, 2017

Cerpen Pilihan Bulanan : JANJI LEBARAN

Assalamualaikum. Salam Kreatif. Bismillah.

Cerpen yang terpilih utk bulan Julai ialah cerpen Padin Majid bertajuk Janji Lebaran. Cerpen yang terpilih menerima saguhati penghargaan daripada Admin TSJD yang telah dikreditkan ke dalam akaun penulis. 

Tahniah!

Salam pena,
Admin TSJD


Friday, August 4, 2017

Cerpen Pilihan Mingguan : AKU TAK MENGERTI

AKU TAK MENGERTI
Oleh Farihah Rashidi


Image result for aku tak mengerti
Sumber gambar : Google

Aku tidak mengerti mengapa mereka begitu membenciku; sedangkan aku mampu rawat luka cedera mereka. Aku seperti Sang Hina yang mahu mendekati mereka Yang Mulia, bagaikan pungguk rindukan bulan. Tiap kali aku cuba menghampiri mereka, aku seolah-lah dibakar rentung. Tapi, aku tidakkan menyerah kalah. Aku akan pastikan mereka menerimaku dan segala luka bisa sembuh.
//
Aku pernah cuba mendekati sebuah golongan penternak haiwan di sebuah negara maju. Hadirnya aku di sana bukan mahu mengganggu gugat aktiviti mereka malah aku cuba untuk membantu mereka untuk masa jangka yang panjang. Aku masih ingat, kemunculanku sewaktu ladang mereka dilanda masalah bekalan makanan (untuk ternakan). Dalam pada masa yang sama, permintaan terhadap hasil ternakan bertambah sehingga mereka tidak punya masa yang cukup untuk ternakan membesar.
Salah seorang daripada penternak mencadangankan untuk ambil permintaan yang mampu mereka sediakan. Namun, lagi dua orang penternak merasakan peluang keemasan itu cuma datang sekali seumur hidup. Justeru, mereka mahu menyuntik hormon pembiakan, percepatkan tumbesaran serta beri makanan dari sisa ladang khinzir. Keputusan yang mereka buat ini membakar aku dengan api tamak haloba.
Benar, berlipat kali ganda keuntungan dibuat tetapi dalam  masa yang sama, mereka telah meletakkan para pengguna ke kancah kesihatan mundur. Suntikan yang dikenakan pada ternakan memberi kesan negeatif pada pengguna. Mungkin 20 tahun akan datang, jumlah manusia yang sihat di muka bumi sama dengan jumlah hutan yang sedang asyik digondol sekarang.
Tidak lama kemudian, aku mendengar tangisan ratapan sedih para penternak kerana anak-anak mereka meninggal dunia akibat sakit disebabkan suntikan racun itu. Hati bagaikan dihiris sembilu, siapakan sangka perbuatan terkena batang hidung sendiri. Pedihnya, sakitnya.
Aku sekali lagi cuba mendekati mereka agar mereka tidak lagi tersimpang jauh. Aku cuba meniup sebahagian daripadaku ke dalam sanubari mereka. Semoga mereka berjaya mengharungi dugaan hidup.
Seterusnya perjalanan aku berjumpa dengan dua orang ahli perniagaan yang cukup berjaya. Mereka berdua sahabat baik. Seorang bernama Ikram dan seorang lagi Faraz. Memandangkan masing-masing berjaya dalam perniagaan, pasti ada saja yang cemburu. Pada mulanya, aku cuma perhatikan mereka daripada jauh, namun saat mereka dilempar fitnah, aku mendekat.
Ikram dituduh terima rasuah manakala Faraz pula dituduh memberi rasuah. Mereka berdua tahu siapa dalang disebalik semua ini. Malah, orang yang menuduh itu sebenarnya yang merasuah dan dirasuah. Mereka kenal sangat dengannya. Sewaktu Ikram dan Faraz berbincang berkenaan cara berhadapan dengan masalah ini, aku turut hadir. Aku gembira kerana Ikram kelihatan senang dengan kehadiranku. Cuma Faraz menentang. Hasilnya, Ikram memilihku dan Faraz pergi tanpa mengendahkan aku.
Aku pesan pada Ikram untuk berdiam diri buat seketika dan terus fokus pada perniagaan. Kataku, diam juga satu bahasa paling baik saat badai melanda. Mohonlah pada Tuhan petunjuk agar sentiasa dalam penjagaanNya. Dia ikut satu per satu nasihatku. Namun, berlainan dengan Faraz, dia buka mulut dan terus bela diri.
Selang beberapa ketika, ombak fitnah kembali reda. Perniagaan Ikram terus maju dek kecerdikannya memilihku. Sebaliknya buat Faraz, dia terperangkap dengan mainan syaitan dan jatuh tersungkur. Dia sedar akan kesilapannya. Ada juga dia berkata pada Ikram, andai dia mendengar kataku, pasti tidak akan jadi begini. Namun, aku akan  tetap bersama andai dia memilihku menemani kebangkitannya.
Sewaktu aku masih di episod Ikram dan Faraz, aku ternampak seorang gelandangan yang seringkali berkeliaran di perkarangan pejabat Ikram. Aku sebut dia seorang gelandangan kerana aku pernah lihat dia tidur di bawah jambatan sewaktu aku menemani Ikram balik ke rumah. Tapi, meskipun  tidak punya kediaman, riak wajahnya cukup bersih.
Dia bernama Chul dengan ketinggian persis model, berkumis nipis, dan berpakaian yang agak kusam. Aku ikutinya untuk beberapa hari. Aku mahu tahu apakah dia boleh menerimaku. Dia berjalan di kotaraya mencari sesuap nasi dengan bermain gitar, ke jambatan untuk tidur, dimana saja dia pergi, aku ada. Sekalipun tidak pernah aku dengar dia menghinaku, sekalipun tidak pernah dia memanggilku kolot.
Sehinggalah suatu hari, Chul di persimpangan perasaan, samada meninggalkanku atau kami terus bersama. Rutin hariannya pada hari tersebut, diganggu dengan ejekan, kata nista orang awam. Mereka mencaci, menghinanya hanya kerana mereka punya rumah, punya pakaian cantik, punya wang makan sedangkan dia tidak punya apa-apa.
Dada Chul berombak-ombak. Saat dada berkembang, dia mahu meninggalkanku, bila kembali rata, dia masih mahukanku. Suara-suara luar mengacau mindanya namun hatinya juga masih mahu bersuara. Aku berpaut kuat di ranting hati Chul.
Akhirnya, suara hati Chul berkata;
“Meski aku tidak punya rumah, tapi aku masih boleh berteduh. Meski aku tidak punya wang, tapi aku masih dapat makan, meski pakaianku kusam, masih mampu menutup aibku. Tuhan begitu pemurah buat orang sehina aku”
Aku melompat gembira. Pedih luka nista Chul, aku rawat lembut sehingga tidak berparut. Begitulah ironinya dunia ini. Biarpun Chul dipandang hina, namun dia tetap punya hati yang mulia. Chul, aku tahu kau akan dapat tempat yang baik di sana kelak. Aku akan jadi saksimu nanti.
Dalam perjalanan aku di negara ‘dunia kelas pertama’, aku sempat melalui sebuah pusat internet, cyeber cafĂ©. Pusat tersebut dipenuhi dengan anak-anak muda juga tidak ketinggalan para pesara. Aku cuba imbas setiap manusia disitu. Semua asyik menatap skrin komputer seolah-oleh dipukau. Seorang remaja perempuan yang duduk ditengah remaja lelaki dan seorang pesara lelaki menarik perhatian aku.
Gadis itu sedang membelek laman sosialnya yang penuh dengan notification. Aku nampak dia klik pada satu laman sesawang yang bertajuk “Gosip Hari Ini”. Mungkin disebabkan berita itu berkenaan artis kesayangannya, itu sebabnya dia lawati laman web itu.
Berita yang dibaca itu agak mengaibkan. Aku turut lihat di ruang komen. Pelbagai komen negatif, buka aib, sangkaan buruk dan sebagainya memenuhi ruangan itu. Jari jemari gadis tadi mula menari di atas papan kekunci. Aku perhatikan saja apa yang mahu ditaipnya. Apa saja yang ditaipnya mempengaruhi kewujudan aku dalam dirinya.
Si gadis menaip dan padam, taip dan padam. Mungkin dia masih mahu berfikir apa yang mahu dikomennya meskipun komen itu bukan satu kewajipan dalam agama. Kelakuan gadis itu mengganggu lelaki pesara disebelah kirinya. Lelaki itu kemudian melihat skrin komputer gadis itu dan berkata;
“Komen je la. Dia ni memang nak kena ajar. Perangai macam tah apa-apa tapi boleh pula laku. Meluat aku tengok”
Gadis itu terdiam, terkesima dengan kata-kata lelaki yang boleh dianggap pakcik itu. Nampaknya, aku tidak diterima dalam hidup Si Lelaki Pesara ini. Namun, buat Si Gadis ini, aku rasa aku masih ada harapan untuk bersarang dalam hatinya. Si Gadis itu membatalkan niatnya untuk beri komen dan hanya senyum tawar kepada lelaki pesara. Aku dapat rasakan dia berfikir tentang kesan perbuatannya. Aku turut berbisik padanya, ‘baca, berhenti, fikir,bertindak’. Jika dia dapat tahan rasa untuk mengomentari orang, menjaga setiap tutur kata pasti dia akan dapat jadi seorang yang baik, pasti tiada hati yang dilukainya.
Aku setuju dengan buah fikirannya dan lega kerana meski Si Gadis asyik dengan media sosial, tetapi dia tidak sesuka hati membuat sebarang komen. Semoga aku dapat terus di dalam hati Si Gadis ini dan semoga dengan kematangannya, dapat beri pengajaran kepada Lelaki Pesara itu.
Daripada satu tempat ke satu tempat yang lain, satu masyarakat ke masyarakat yang lain, merentasi benua, merentasi zaman. Sampailah aku ke sebuah perkampungan kecil di negara yang dilabel dunia ketiga.
Terik panas mentari menggigit rakus masyarakat kampung. Aku rasa jika ada pelancong datang ke sini pasti bawa mudarat. Bahang yang membelit diri mengerah tenaga hingga lemah longlai. Bekalan air juga terhad. Bahkan punca air juga jauh. Perlu berjalan kaki ke mata air demi memastikan bekalan cukup untuk seiisi rumah.
Aku cuba perhatikan penerimaan aku disini. Apakah mereka sebulat suara menyukai aku atau sebaliknya? Aku mahu lihat apakah yang digembar-gemburkan media kelas pertama tentang mereka  itu benar atau palsu. Menurut media mereka merupakan masyarakat yang mundur dalam aspek peradaban manusia. Maklumlah, di tempat mereka tiada pencakar langit, tiada sistem pengairan, pengaliran juga elektrik.
Seorang lelaki berbadan sasa, berkulit gelap, berdiri memberi sepatah dua kata. Lagaknya seperti ketua kampung. Satu per satu ucapannya aku dengar. Tiada keluhan, tiada putus asa. Hanya pujian kepada Tuhan, harapan dan doa agar terus dikurniakan rezeki. Kata-katanya ibarat awan yang memayungi pendengar (penduduk) dari terik mentari, bagaikan gerimis yang menyejukkan diri.
Sedang asyik penduduk kampung berkumpul, tiba-tiba kedengaran jeritan orang bergaduh. Mereka semua berlari ke arah jeritan dan menjumpai dua orang lelaki sedang bertumbuk. Diantara para lelaki yang bergaduh ada dua ekor lembu termanggu-manggu seperti tidak faham dengan apa yang berlaku.
Pak Ketua Kampung meleraikan pergaduhan yang hampir saja menumpahkan darah. Beliau kemudian menyoal selidik puncanya. Ada orang kampung yang turut terbawa dengan kehangatan cuaca serta pergaduhan untuk turut bergocoh. Namun, Pak Ketua menyuruh mereka untuk kekal tenang. Aku cukup suka dengan Pak Ketua ini. Nampaknya beliau juga menyukai aku.
Rupanya pergaduhan itu disebabkan salah seorang lelaki mahu menjual lembu kepunyaan rakannya dengan alasan mahu merantau ke Bandar demi mencari kehidupan yang maju jaya. Pak Ketua ambil sejenak saat untuk berfikir. Lalu beliau berkata;
“Hidup kita disini bukan satu malapetaka malah satu anugerah daripada Tuhan. Kehidupan kita meskipun tidak ‘maju’ seperti orang lain, namun kita masih bersaudara, masih ada berkasih sayang. Ini adalah cara hidup kita. Tidak semestinya kehidupan di Bandar sana, adalah kehidupan yang ideal buat kita semua. Percayalah, kita adalah yang teristimewa dipilih Tuhan untuk berada disini. Belum tentu orang lain mampu menjalani kehidupan kita. Dan yakinlah, selagi kepercayaan pada Tuhan kukuh di hati, kita disini dapat mengharungi ujian hidup meski apa badai sekalipun  yang mendatang. Bersyukurlah kita,”
Bukan hanya lelaki yang bergaduh tadi angguk setuju, malah sekalian orang kampung turut bersetuju dengan ucapan Pak Ketua. Saat itu, aku merasakan seluruh kampung menerima dengan hati terbuka kehadiran aku. Mereka saling bersalaman, berpelukan dalam dakapan kasih sayang.
Kewujudan aku yang bertunas kini sudah menjadi pohon rending dalam sanubari mereka juga anak cucu. Aku cukup seronok melihat keadaan ini. Walaupun berada dalam keadaan yang tidak selesa, tidak senyaman masyarakat lain, tapi mereka tetap meemilihku. Mereka percaya akan rahmat dan kasih sayang Tuhan.
Begitulah antara kisah perjalananku. Tidakkah kamu tertanya-tanya, siapakah aku?
//
Akulah SABAR. Sebuah sikap yang kian lama ditelan zaman. Aku masih mencari puncanya. Adakah kerana dunia ini bergerak makin pantas? Ataupun kerana perkembangan teknologi yang begitu pesat? Sehinggakan aku yang bernaunsa perlahan ini dimomokkan sebagai ketinggalan zaman? Menjadikan semua pecintaku dianggap kolot dan tidak boleh hidup selangit, mati setanah dengan dunia moden?
Mungkinkah kewujudan aku dalam setiap sanubari insan bakal diancam kepupusan seperti Harimau Malaya, bunga Rafflesia?
Aku berharap sekalian insan dapat memberi ruang pada diri sendiri untuk menerimaku. Agar kejadian Hiroshima, genosid rakyat Rohingya, dan sebagainya tidak berulang kembali. Begitu besarnya harapanku.
Sabarlah, kerana sabar itu sebahagian daripada iman.
Tamat.

Tuesday, August 1, 2017

Rangka Dan Cerita

Teks : Monalita Mansor
Gambar : Carian Google

Assalamualaikum. Salam Kreatif. Bismillah.

Merangka plot atau draf DENGAN menulis kreatif adalah dua perkara yang berbeza. Hasil ‘rangkaan’ kita itu digelar draf. Draf pula akan melalui beberapa proses kreatif, barulah ia akan digelar cerpen, puisi, novel dan sebagainya.
Anda tentu pernah membaca kan, ada penulis-penulis tersohor melakukan proses edit beratus-ratus kali sebelum berani mengenengahkan hasil karyanya.
Anda tak boleh dakwa diri anda penulis hanya berdasarkan kemahiran anda membuat draf. Kemudian anda tulis berjela-jela dengan bahasa draf. Pada akhirnya, anda dakwa ia sebagai karya kreatif seperti yang tersebut di atas.

Contoh draf :
Contoh 1
saya dalam perjalanan ke pusat belia. Dalam perjalanan, saya sakit perut. Sakit perut saya kuat sangat.
tapi bukan sakit nak ter……. Tapi sakit lain. Saya berhenti di tepi jalan. Saya ambil telefon. Saya telefon kakak saya. Kakak saya pergilah klinik. Saya tanya klinik mana. Kakak kata, Klinik Bandar.

kemudian anda tulis begini :
Contoh 2
Saya dalam perjalanan ke pusat belia. Dalam perjalanan, saya merasa sakit perut yang amat sangat sehingga saya rasa hendak menangis tetapi saya tidak menangis. Tapi, sakit perut saya itu bukan sakit hendak ter…. Sakitnya macam kena cucuk-cucuk. Saya pun berhenti di tepi jalan dan mengambil telefon bimbit ZenPhone2 yang dihadiahkan oleh ayah saya pada minggu lepas kerana lulus periksa lalu menelefon kakak saya yang tengah lepak di kafe kat kolej dia. Kakak saya suruh pergi ke klinik tempat klinik keluarga yang biasa mak dan ayah pergi kalau saya atau kakak demam atau sakit.

Contoh 3
Semasa di dalam perjalanan menuju ke pusat belia, saya sudah merasakannya. Ada sesuatu yang aneh di dalam perut. Sepertinya ada pisau tajam yang menikam-nikam tali perut. Kesakitannya bisa sekali. Ia merengat-rengat dan menyebabkan sendi terasa lemah. Ia seperti menyerang ke seluruh tubuh sehingga peluh-peluh kecil merenek di dahi.
Langkah saya menjadi perlahan. Adakalanya terhenti terus apabila tali perut saya seperti dipulas dan diperah. Saya berhenti dan bersandar di dinding perhentian bas. Dengan tangan yang menggigil-gigil, saya meraba perut beg. Saya keluarkan telefon bimbit dari dalam beg.
“Kau pergi Klinik Bandar, sekarang,” arah kakak saya sebaik saja mendengar aduan saya yang payah.



Contoh 1 ialah draf
Contoh 2 ialah draf juga tetapi saya pernah jumpa dimajukan untuk sebuah antologi cerpen
Contoh 3 ialah draf yang dimurnikan untuk kali pertama.

Selamat menulis.

Salam pena,
Geng TSJD