Friday, July 28, 2017

Cerpen Pilihan Mingguan : CIK SAEMAH RATU DRAMA

CIK SAEMAH RATU DRAMA
Oleh Myra Amni


Image result for saadiah
Sumber gambar : Google

DULU

Seantero tanah Malaya tahu siapa Cik Saemah. Itu belum termasuk tanah besar China, benua kecil Hindi, tanah Asia Barat, huish, pendek kata Cik Saemah ini memang popular amatlah. Tambahan pula, Cik Saemah orangnya lawa. Kalau di poster-poster filem box-office nama Cik Saemah memang dicetak besar-besar, menggunakan font maksima.
Lawanya Cik Saemah itu tidak terlawan dek primadona ataupun biduanita lain pada zaman itu. Jemarinya runcing dan ruas jarinya tidak menggemuk di tengah. Kukunya jarang dibiar putih, diwarna merah untuk menambah geram lelaki bermata jalang. Sepasang mata runcing milik Cik Saemah, kalau digunakan untuk menjeling para serigala berwajah manusia, mahu disedut semula segala liur menjejeh dan tanpa menyalak, akan segera menerkam. Sepasang mata juling air yang mengapit hidung yang seakan terkepit dengan lekuk di bawahnya melatari bibir yang nipis dan seksi, Basah dan kelihatannya sentiasa merayu. Agh! Segalanya Cik Saemahlah.
“Cinta punya pasal, Cik Pah!” Cik Leha memuncung-muncungkan tajur di hujung bibirnya. Cik Pah yang mencangkung sambil menampar ciuman nyamuk di punggung lebarnya mengangguk-angguk. Pagi-pagi lagi Cik Leha sudah muncul membawa berita penting buat peminat Cik Saemah. Cik Saemah kahwin lari! Bagi penyanjung cinta hujung nyawa, kerja nekad membelakangkan wali dan keluarga itu adalah simbol cinta abadi. Soal sijil nikah yang tak muncul kesahihannya tatkala rumah tangga di hujung tanduk tidak terlintas langsung. Positif. Berkahwin bukan untuk bercerai. Ikrar mereka.
“Kesian mak ayahnya kan, Cik Leha…” komen Cik Pah, terangguk-angguk.
“Alah…nanti bila dah beranak-pinak, sejuklah hati mereka. Orang tua marahnya tak lama,” kata Cik Leha sambil mengintai-intai ke dalam dapur Cik Pah. Dia ngeri melihat jelingan maut yang memaksudkan ‘orang perempuan memang suka tempah tiket ke neraka’ daripada laki Cik Pah yang suka menyampuk itu.
“Iya. Kalau beranak pinak. Kalau dibuatnya doa mak ayahnya yang sakit hati makbul masa dia lari tu. Anak tak ada, rumah tangga porak peranda, macam mana?” sampuk laki Cik Pah disambung dengan kelentang periuk, pinggan dan sudu berlaga di dalam sinki. Macam terkena renjatan elektrik, Cik Leha bangun dan minta diri. Dia betulkan kain batiknya yang melonggar di pinggang yang tak berbentuk. Tajuknya tadi hendak ke gerai nasi lemak hujung simpang. Terbabas pula ke rumah Cik Pah.
“Cik Saemah yang kahwin lari awak sibukkan. Kalau saya kahwin lari dengan madu awak, baru awak tahu!” Ugut laki Cik Pah. Orang perempuan ni, kalau nak disedarkan daripada sindrom mengumpat perempuan lain, ugutlah nak dimadukan. Cepatlah sedarnya. Walaupun niat sebenarnya tinggal niat. Laki Cik Pah tersengih-sengih. Cik Pah yang masam mukanya terus sahaja menonong masuk ke dalam rumah.
Seperti lazimnya manusia, mudah lupa, maka lupalah manusia di Malaya ini tentang keberadaan Cik Saemah. Cik Saemah bintang filem terhangat yang sensasi, memudar bintangnya sebaik menghilang mengikut kekasih hatinya ke Sudan Selatan. Tiadalah sesiapa meskipun mengakui diri mereka peminat tegar Cik Saemah membilang berapa kali dres yang sama dipakai atau sepanjang mana belahan kain Cik Saemah. Peminat yang menampal poster dan pin-up Cik Saemah di dinding bilik juga sudah menggantikannya dengan gambar bersanding atau gambar anak-anak.   


            KINI

Namun. baru-baru ini, Cik Saemah muncul semula. Cik Saemah kini menjadi penerbit. Kata Cik Saemah, pengalamannya sebagai primadona hebat satu ketika dulu akan membantunya tanpa perlu tunjuk ajar daripada sesiapa. Penerbit-penerbit yang ada di Malaysia sekarang ini semuanya longlai ilham. Sedangkan Cik Saemah, sudah memasakkan visi global untuk membawa karya-karya anak tempatan ke pasaran antarabangsa, katanya. Cik Saemah juga sudah belajar selok belok menangani syarikat sepanjang dia berada di Sudan Selatan itu. Rupa-rupanya, kekasih yang menjadi suami Cik Saemah itu, poketnya tebal, sama tebal dengan bibirnya. Patutlah ketika Cik Saemah mengadakan sidang akhbar, ramai wartawan mapan tidak mengenalinya kerana hidungnya sudah semakin terkepit dan pipinya kejun membukit dan bibirnya tidak dapat dimuncungkan ketika berswafoto.
‘Cik Pah, bolehlah bawak anak awak ke uji bakat syarikat Cik Saemah.’ Mesej whatsapps daripada Cik Leha mengetuk pandangan Cik Pah. Malangnya, ketika itu Cik Pah sedang sibuk mengemaskinikan akaun instagramnya. Dibiarkan sahaja mesej itu. Di zaman millenium ini, Cik Leha menggunakan sepenuhnya kebolehan manipulasi laman sosial supaya tidak lagi ditembak dengan panah kata-kata tajam laki Cik Pah seperti dulu.
“Kalau aku sebarkan di FB atau insta, mesti jadi tular.” Cik Leha menggumam dan terus mengongsi status Saemah tentang pencarian bakat baru untuk diuji bakat; khusus untuk berlakon di dalam filem ‘Ratu di Balik Hijab’, terbitan ulung syarikatnya. Penggambaran akan dilakukan di Turki, Switzerland dan London.

Sayang-sayang akak semua, cepatlah datang uji bakat. Syarikat akan tak letak syarat, anak dara, ibu tunggal, asalkan menepati kriteria pelakon yang kami perlukan.

Begitulah, meriahnya status Cik Saemah di laman sosial. Cik Saemah juga memuatnaik gambar-gambar swafoto lokasi yang terpilih dengan gaya penuh mewah. Menurut Cik Saemah lagi, suaminya, ahli perniagaan dari Sudan Selatan itu sangat merestui kehendaknya. Maka, berduyun-duyunlah anak-anak dara dan ibu-ibu tunggal seantero tanah Malaysia yang teringin hendak merasai tempias glamor berkilau-kilau menekan like dan meninggalkan komen serta mesej. Cik Saemah juga menjanjikan Mahdi Patara, hero idaman Nusantara bertubuh kekar dan bermata tajam akan terlibat dalam produksi tersebut.

Sayang-sayang akak…

Akak mintak maaf sangat-sangat. Sesi auditon yang akak janjikan di Hotel Lima Bintang terpaksa ditunda kerana sayang akak ada hal yang tak dapat  dielakkan di Dubai. Nanti akak akan umumkan tarikh baru…sabar ya sayang-sayang semua…muah…muah!

5 minit yang lepas


Cik Leha menggaru-garu tengah kepala yang hampir botak. Mana satu hendak dipercaya ni? Blog hiburan Tiong.Com baru sahaja memuatnaik gambar Cik Saemah bertudung dan berbaju putih sedang berpegangan tangan keluar dari sebuah masjid bersama seorang lelaki yang cerah kulitnya dan nipis bibirnya. Bukan di Dubai, tapi di Selatan Thai! 

Tamat.


No comments:

Post a Comment